Bulan ialah jasad langit yang mempesona, sering diungkapkan dalam karya dan penulisan sebagai metafora perasaan serta simbol keindahan. Peredaran bumi dan bulan dalam orbitnya mengelilingi matahari bukan sahaja menentukan kitaran siang dan malam, malah mempengaruhi perubahan musim dan mencetuskan pelbagai fenomena alam yang dapat diperhatikan dalam kehidupan seharian.
Eksplorasi sains moden ke angkasa lepas telah mendedahkan bentuk dan sifat bulan dengan terperinci. Namun, Allah SWT lebih dahulu mengingatkan manusia tentang tujuan penciptaan bulan dan matahari, serta peredaran siang dan malam yang berlaku kerana pergerakan jasad-jasad langit. Firman-Nya:
Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. (Al-An’aam 6:96)
Setiap kali kita melihat bulan, pernahkah terlintas di fikiran bahawa jasad langit ini ialah makhluk yang menjadi saksi hikmah nubuwah di muka bumi? Ia adalah bulan yang sama telah menyaksikan pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, yang menjadi bukti dan pengajaran yang tersimpan dalam sirah para nabi.
Bulan Terbelah Dua
Menurut tafsir Surah al-Qamar serta beberapa hadis, diriwayatkan bahawa bulan telah terbelah dua sehingga kelihatan Bukit Hira’ di antara kedua-dua bahagiannya. Peristiwa ini berlaku ketika kaum musyrikin Mekah meminta Rasulullah SAW menunjukkan suatu tanda mukjizat. Allah SWT berkehendak menjadikan salah satu makhluk ciptaan-Nya, iaitu bulan, sebagai mukjizat alam yang jelas di langit tinggi—sehingga kejadian bulan terbelah dua itu bukan sahaja disaksikan oleh penduduk Mekah, malah turut dilihat oleh para musafir yang sedang dalam perjalanan.
Peristiwa luar biasa ini seharusnya cukup untuk menegaskan keagungan dan kekuasaan Allah SWT. Namun begitu, kaum musyrikin tetap berdegil dan enggan menerima kebenaran. Sebaliknya, mereka menuduh Rasulullah SAW telah menyihir pandangan mata mereka, menzahirkan keingkaran hati yang tertutup daripada menerima petunjuk.
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah). Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran), sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan kufur itu). (Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar). Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). (Ingatlah) masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada perkara yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah). Surah Al Qamar 54:1-6
Pemandangan bulan yang terbelah merupakan satu peringatan kepada kaum musyrikin tentang hakikat alam semesta, termasuklah bulan dan seluruh ciptaan, yang pasti akan binasa pada hari kiamat. Setelah menyaksikan peristiwa alam yang luar biasa melangkaui batas pemikiran mereka, seharusnya mereka menyedari bahawa alam ini tidak kekal dan bahawa hari kiamat pasti berlaku, di mana manusia akan dihadapkan dengan balasan atas setiap perbuatan mereka.
Namun, setelah menggambarkan sikap degil kaum musyrikin yang enggan mengambil pelajaran daripada mukjizat alam dan peringatan tentang hari kiamat, Rasulullah SAW diperintahkan agar tidak lagi menghiraukan keingkaran mereka. Baginda diminta untuk membiarkan mereka dengan pilihan sendiri, sehingga tiba saat mereka berhadapan dengan hari kiamat tersebut.
Nabi Ibrahim AS dan Bulan
Dalam kisah yang sarat dengan pengajaran tentang Nabi Ibrahim AS ketika berhadapan dengan kaumnya—termasuk ayahandanya sendiri yang menyembah berhala—Baginda merenung dan meneliti kejadian alam di langit sebagai jalan menuju pengakuan tauhid. Bermula dengan pemerhatian terhadap bintang, bulan dan matahari yang masing-masing terbit dan kemudian terbenam, Nabi Ibrahim AS menyingkap hakikat bahawa segala yang berubah dan lenyap tidak layak dijadikan Tuhan. Melalui renungan tersebut, Baginda mengakui keesaan Allah SWT serta berlepas diri daripada segala bentuk penyekutuan yang dilakukan oleh kaumnya terhadap Allah.
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. (Al-An’aam 6:77)
Justeru, amalan mencerap dan merenungi alam, khususnya langit dan jasad-jasad cakerawala, bukanlah sesuatu yang bermula dengan penyelidikan sains semata-mata. Sebaliknya, ia berakar daripada hikmah dalam sirah para nabi, khususnya Nabi Ibrahim AS, yang wajar dicontohi dan dihidupkan semula oleh umat Islam pada masa kini sebagai jalan memperkukuh keimanan dan kefahaman terhadap kebesaran Allah SWT.
Bulan Bersujud di Dalam Mimpi Nabi Yusuf AS
Bulan dalam kisah Nabi Yusuf AS muncul sebagai simbol kemuliaan dalam mimpinya, yang kemudian membuka jalan kepada rangkaian kisah penuh hikmah dan pengajaran yang menjadi teladan sepanjang zaman.
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. (Yusuf 12:4)
Purnama di Nusantara
Bagi masyarakat di timur, bulan sering hadir dalam bahasa dan budaya sebagai cerminan perjalanan hidup manusia. Ada waktunya ia menjadi lambang pemberian yang tidak disangka, seperti bulan jatuh ke riba, dan ada kalanya pula melambangkan harapan yang terlalu jauh, bagai pungguk merindukan bulan. Namun, bulan juga mengingatkan kita bahawa kehidupan tidak sentiasa berada dalam cahaya sempurna—bulan tak selalu terang. Ada masa ia dilindungi awan, ada masa ia bersinar penuh, sebagaimana kebenaran yang kadangkala tersembunyi, bulan di balik awan, sebelum akhirnya menampakkan sinarnya kepada mereka yang setia di sisi kebenaran.
Manusia datang dan pergi, sedangkan bulan akan terus berada di langit sehinggalah alam ini akan kiamat. Kini, setiap memandang bulan, hayatilah dengan sorotan nubuwah dan hikmah yang terkandung di sebaliknya. Semoga renungan ini menambahkan ketakwaan dan memperkukuh keimanan, menjadikan setiap pandangan bukan sekadar melihat keindahan langit, tetapi juga menyaksikan kebesaran Allah SWT.