Terdapat solat sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW pada waktu Dhuha, yang dikaitkan dengan kelebihan rezeki. Tahukah anda, pada waktu Dhuha juga terdapat fenomena alam yang menarik berkaitan cahaya matahari?
Pada waktu ini, kadar Cahaya matahari termasuklah ultraviolet (UV) berada pada tahap optimum. Cahaya matahari memainkan peranan penting dalam memastikan kehidupan di bumi bergerak mengikut aturan semula jadi:
- Tumbuhan – Cahaya tampak (visible light) membantu proses fotosintesis, membolehkan tumbuhan menghasilkan makanan dan oksigen.
- Haiwan – Sesetengah haiwan memanfaatkan cahaya UV untuk melihat dengan jelas, mencari makanan, dan bertindak secara efektif dalam ekosistem mereka.
Menariknya cahaya UV boleh di ‘perangkap’ dengan menggunakan sejenis bahan kimia yang disebut Quinine, yang digunakan dalam penghasilan air tonik. Bersama ahli keluarga mari meneroka cahaya UV dengan aktiviti menarik ini.
Alatan dan Bahan:
- Cawan lutsinar
- Air tonik yang mengandungi Quinine
Kaedah:
- Tuangkan air tonik ke dalam cawan lutsinar
- Halakan cawan ke langit, dan cuba lihat melalui cawan yang berisi air tonik di kawasan terbuka dan tertutup.
- Perhatikan perubahan warna pada air tonik apabila ia bertindakbalas dengan cahaya matahari
- Air tonik mengandungi komponen quinine yang memerangkap UV pada cahaya matahari dan menukarkan air tonik menjadi kebiruan. Semakin tinggi kadar cahaya UV semakin gelap warna yang terhasil. Kadar cahaya UV tinggi antara waktu dhuha sehingga asar.
Pengajaran
Al Quran menjelaskan sifat matahari sebagai bersinar-sinar, manakala bulan bercahaya. Sinaran matahari terhasil dari pembakaran gas dalam jasad suria, manakala bulan bercahaya dari memantulkan cahaya dari matahari ke permukaan bumi.

Pembakaran matahari menghasilkan haba, sinaran (cahaya) serta gelombang elektromagnet.
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya). (Yunus 10:5)
Cahaya matahari terdiri daripada 3 komponen utama iaitu – cahaya tampak, cahaya UV dan inframerah. Cahaya UV pada matahari tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia, tetapi menjadi manfaat kepada hidupan seperti haiwan. Contohnya, burung kakaktua, rama-rama dan lebah dapat mencari makanan dan menghasilkan vitamin D dengan manfaat cahaya UV. Mamalia seperti rusa, anjing, kucing dan lembu juga dapat mengesan cahaya UV dengan mata dan melihat alam dengan kontra yang berbeza bagi memudahkannya mendapatkan makanan.
Hanya sedikit cahaya UV yang dapat menembusi langit bumi disebabkan oleh perlindungan lapisan ozon di langit. Walaubagaimanapun, dengan lapisan ozon semakin menipis lebih banyak UV tidak dapat ditapis dan boleh menyebabkan manusia mengalami kanser kulit pada kadar pendedahan yang tinggi.
Mensyukuri Nikmat Matahari
Kesempurnaan ciptaan Allah SWT
Allah SWT menciptakan alam ini dengan begitu sempurna dan seimbang. Setiap lapisan cahaya dan panas matahari membawa rahmat untuk haiwan dan tumbuhan, memastikan kehidupan terus berkembang.
Mensyukuri pergantian malam dan siang
Kita disyariatkan untuk memanfaatkan waktu sebaik mungkin: siang untuk bekerja mencari kurnia Allah, dan malam untuk berehat.

Menunaikan ibadah mengikut waktu
Mensyukuri nikmat matahari juga dapat dilakukan melalui ibadah, seperti menunaikan solat fardu mengikut ketetapan waktu. Ditambah pula dengan solat sunat, contohnya solat Dhuha yang dilakukan ketika waktu dhuha, sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.
Fakta Menarik tentang Matahari
Nabi Ibrahim AS merenung kejadian matahari ketika menghadapi tentangan kaumnya yang menyembah berhala. Pengamatan baginda terhadap matahari menguatkan keimanan bahawa terdapat Tuhan yang menciptakan keseluruhan alam ini. Nabi Yusuf AS pula pernah bermimpi melihat matahari bersujud kepadanya, sebagai maksud kemuliaan dan kenabian yang akan diberikan kepadanya.
Terdapat Surah dalam Al-Quran bernama Surah As-Shams (Matahari), di mana Allah bersumpah dengan penciptaan matahari yang sempurna. Surah ini mengajarkan bahawa manusia diilhamkan dengan ketakwaan dan kefasikan, maka beruntunglah mereka yang memilih mensucikan jiwa.
Quinine merupakan bahan alkali yang di ekstrak dari pohon Cinchona di kawasan Peru atau pohon Kina di kawasan Asia Tenggara. Menurut kearifan tempatan, air pohon Kina digunakan untuk merawat demam Malaria. Pengetahuan tersebut kemudiannya telah mendorong peluasan penjajahan Eropah di kawasan tropika. Penggunaan quinine telah dikomersialkan sebagai air tonik seperti jenama Schweppes.