Search

Simfoni Alam (Bhg. 1) Sensory Ecology

Pada yang Oktober yang lepas, penulis berpeluang berkongsikan pengamatan terhadap alam dalam program Langkah Srikandi di Taman Rimba Bukit Kerinchi, anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia. Antara aktiviti yang dapat dijalankan bersama peserta ialah Sensory Ecology: Simfoni Alam. Dalam aktiviti ini, penulis mengajak peserta memanfaatkan deria pendengaran untuk mendekatkan diri dengan ciptaan Allah SWT dan belajar daripada alam semula jadi. Dengan itu hutan boleh menjadi ‘kitab terbuka’ yang penuh ilmu dan inspirasi.  

Sensory Ecology (Mendengar): Dengarkan suara hutan

Pernahkah anda cuba duduk diam di tengah hutan sambil pejamkan mata, dan biarkan bunyi alam mengisi telinga anda? Dengarkanlah burung berkicau, daun bergerak, serangga bersiul, monyet bergelut, dan tupai melompat-lompat. Cuba kenal pasti bunyi-bunyi ini dan telitikan jeda masa, seterusnya tentukan arahnya. Di atas sekeping kertas, cuba lakarkan peta bunyi di utara, selatan, timur, barat. Dan sekiranya anda seorang yang kreatif, cuba susunkan rakaman simfoni alam menjadi puisi atau lagu spontan.

Sistem auditori manusia dicipta supaya dapat berinteraksi dengan gelombang bunyi yang terhasil dari pergerakan jasad-jasad alam. Deria pendengaran adalah penting kepada manusia dalam erti kata ia sensitif terhadap bunyi yang berkaitan dengan kelangsungan hidup seperti sumber makanan dan acaman persekitaran. Selain itu, jiwa manusia berinteraksi dengan positif terhadap bunyi tertentu dari alam semulajadi, seperti kicauan burung. Menurut teori attention restoration, bunyian alam yang lembut dan perlahan dapat merehatkan otak serta menajamkan tumpuan, memori dan penjanaan idea kreatif. Bunyi alam juga dapat mengurangkan rasa cemas dan membuatkan perasaan menjadi tenang.

Mensyukuri Pendengaran

Aktiviti sensory ecology yang menggunakan deria pendengaran bukan sahaja membuatkan kita berasa kagum dengan keindahan alam sehingga menimbulkan perasan tenang, tetapi ia juga merupakan kesempatan untuk menghayati salah satu nama Allah dari asmaul husna iaitu السميع (al-Sami’ ) – Yang Maha Mendengar. Nama Allah السميع bermaksud Allah maha mendengar setiap bicara makhluk, terutamanya manusia samada diungkapkan atau disembunyikan sehinggakan tiada satu pun yang tersembunyi dari pengetahuanNya.

“Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah 2:181)

Allah memberikan nikmat pendengaran supaya manusia mendengar seruan wahyu dan bertindak mengikuti perintah Allah SWT dengan patuh,

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami memohon) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. (surah Al-Baqarah 2:285)

Besarnya nikmat pendengaran bagi manusia mendapatkan kebenaran sehingga Allah SWT menggunakannya sebagai perbandingan orang kafir dan yang beriman.

Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf? – (Surah Hud 11:24)

Nikmat pendengaran ketika di dunia akan dipertanggujawabkan ketika di akhirat nanti. Bahkan pendengaran akan menjadi saksi kepada amal perbuatan manusia ketika di dunia,

“Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu). (Surah Fussilat 41:22)

Oleh itu kita diperintahkan supaya menjauhkan diri dari pendengaran yang dilarang Allah SWT seperti mendengar berita palsu, hasutan dan juga perkara buruk serta yang membawa kepada kesesatan. Sungguhpun bunyi alam dan nikmat pendengaran merupakan jalan mudah untuk mendapat kebenaran, terdapat manusia yang tetap enggan mengambil pelajaran sehingga mereka dibiarkan kekal dalam keadaan yang rugi. Akhirnya alam yang sempurna pada hari ini akan binasa apabila tiba hari kiamat, bunyi alam yang mendamaikan pada hari ini akan betukar menjadi pekikan yang menakutkan sebelum manusia dibangkitkan semula untuk mendapat balasan terhadap perbuatan di dunia.

“Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat,.” (Surah ‘Abasa 80:33)

Rujukan:

  1. Franco LS, Shanahan DF, Fuller RA. A Review of the Benefits of Nature Experiences: More Than Meets the Eye. Int J Environ Res Public Health. 2017 Aug 1;14(8):864. doi: 10.3390/ijerph14080864. PMID: 28763021; PMCID: PMC5580568.
  2. Eleanor Ratcliffe, Birgitta Gatersleben, Paul T. Sowden, Bird sounds and their contributions to perceived attention restoration and stress recovery. Journal of Environmental Psychology, Volume 36, 2013. Pages 221-228 https://doi.org/10.1016/j.jenvp.2013.08.004.

Penulis:

Share this post

Share this post

Recent Posts