Bunyian dari alam seperti hujan adalah tanda kekuasaan Allah SWT bagi yang mahu mengambil peringatan. Sejurus anda mendengar hujan, lihatlah dari mana datangnya, dan bagaimanakah ia menjadi kegunaan makhluk di bumi.
“Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Dia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya).” (Al-Nahl 16:65)
Diantara waktu yang mustajab berdoa ialah ketika hari hujan lebat, yang disandarkan kepada hadith dari riwayat Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Raaulullh SAW bersabda:
Maksudnya: “Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.” (Riwayat al-Hakim No. 2534)
Oleh itu ketika hari hujan, dan anda mendengar bunyi air berjatuhan ke bumbung dan tanah, ingatlah juga kepada peristiwa-peristiwa Allah mendengar doa nabi-nabi dan hamba yang soleh. Antaranya ialah doa Nabi Ibrahim AS dan Nabi Zakariya AS untuk mendapatkan zuriat, serta doa Nabi Yusuf AS ketika baginda meminta perlindungan dari tipudaya.
“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.” (Surah Ibrahim 14:39)
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”. (Aali-‘Imraan 3:38)
“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya. Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yusuf 12:33-34)
Jadi ketika anda mengambil kesempatan berdoa di masa mustajab ketika turunnya hujan lebat, semoga bunyi hujan membesarkan pengharapan anda kepada Allah SWT, kerana Tuhan yang sama mendengar doa dan memakbulkan doa manusia pada hari ini adalah Tuhan yang sama telah menjawab doa-doa hambaNya waktu dahulu.