Ketika penulis berada di Taman Rimba Bukit Kerinchi dalam program Langkah Serikandi bersama PEMBINA UKM, terdapat satu lagi aktiviti mencerap alam yang dapat dijalankan bersama peserta. Sekiranya anda suka mencerap dan menyelidiki alam, cuba lakukan aktiviti eko-forensik – Rahsia Rimba yang juga memanfaatkan deria penglihatan ini.
Kaedahnya, pilih sebatang pokok di hutan dan perhatikan ciri fizikal pokok tersebut – warna dan tekstur pada daun, batang, dahan serta ranting, serta kehadiran kulat dan serangga. Dengan bantuan jurupandu hutan, atau sekiranya tiada, lakukan kajian lanjut untuk mentafsirkan kesihatan pokok berdasarkan hasil pemerhatian. Perhatikan juga persekitaran pokok yang dikaji, adakah ia berdekatan dengan laluan manusia dan haiwan, ataupun jalan raya; serta adakah terdapat pencemaran berdekatan. Hasil pemerhatian dapat menjelaskan kualiti ekosistem dengan menggunakan pokok sebagai petunjuk biologi.

Pencemaran alam sekitar memberi tekanan kepada tumbuhan dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, bahan pencemar udara seperti sulfur dioksida boleh mengakibatkan kerosakan pada komponen klorofil di daun dan menyebabkan daun kekuningan dan layu. Kulampair atau linken (linchen), merupakan komposit simbiosis alga dan kulat yang biasa terdapat di batang dan dahan pokok, adalah sangat sensitif dengan sulfur dioksida. Gas sulfur dioksida tidak berwarna dan dibebaskan dari pembakaran arang dan industri seperti kilang kertas boleh membunuh koloni kulampair.
Terdapat juga kulampair (Xanthoria parietina) yang hidup dengan subur dalam pencemaran nitrogen oksida, sejenis gas yang terhasil apabila nitrogen dipanaskan (melalui proses pembakaran) dan bergabung dengan oksigen. Gas nitrogen oksida memerangkap cahaya UV dan menghasilkan gas rumah hijau. Air hujan dan gas nitrogen oksida bertindakbalas menghasilkan asid nitrik yang menjadi komponen utama hujan asid. Apabila manusia menghidu gas nitrogen oksida ia boleh menyebabkan radang pada salur pernafasan dan menyebabkan batuk dan semput. Lebih buruk gas pencemar ini boleh menurunkan tindakbalas imun terhadap jangkitan paru-paru.
Walaupun begitu, pokok bukanlah satu-satunya petunjuk biologi terhadap kualiti alam sekitar seperti pencemaran. Malah jenis dan usia pokok juga memberi tindakbalas balas berbeza terhadap perubahan persekitaran.
Aktiviti ini mengajar kita untuk menginsafi mafhum Al Quran berkenaan kerosakan alam,
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah Ar-Ruum 30:41)
Seperti populasi kulampair di UK yang hilang akibat pencemaran udara oleh sulfur dioksida dapat tumbuh kembali di pohon-pohon apabila manusia bertindak mengurangkan pembakaran arang batu.
Rujukan:
- Cunningham, W. P., & Cunningham, M. A. (2021). Environmental Science: A Global Concern. McGraw-Hill Education.
- Nature and pollution: what lichens tell us about toxic air. https://www.nhm.ac.uk/discover/nature-and-pollution-what-lichens-tell-us-about-toxic-air.html