Masyarakat yang tinggal di iklim tropika mempunyai pemerhatian yang halus terhap pohon di sekelilingnya. Contohnya di Nusantara, tabiat pohon pada setiap bahagiannya dan jenis pohon yang berbeza menjadi bidalan dalam pepatah pepatih untuk memberi nasihat, dorongan dan teguran. Bagi masyarakat orang asal pula, ketakjuban dan kebergantungan kepada pohon mendorong kepercayaan mistik seperti semangat dan dewa-dewa yang memberi kehidupan melalui pohon.
Falsafah alam terkembang menjadi guru dari sudut pandang pohon menghimpunkan pesan halus yang diambil bermula benih bertunas, bunga berputik dan berbuah, sehinggalah kepada akar yang mencengkam dan daun-daun yang meluruh.
Teguh bak akar
Simbolik keteguhan biasanya dikaitkan dengan akar tunjang dan pohon jati. Seperti ungkapan, ‘umpama pohon jati, teguh tidak mudah tumbang’ yang membayangkan kuat pendirian dan jati diri. Sifat berani, tetap pendirian walaupun ditentang dimisalkan sebagai ‘pohon berdiri di tengah padang, ditiup angin tiak bergoyang’. Adat kehidupan yang silih berganti antara ujian dan nikmat mengingatkan manusia supaya tabah untuk terus berjuang ketika berhadapan dengan ujian, melalui nasihat dari pemerhatian terhadap akar, ‘walau rebah ditimpa rebut, akar tetap mencengkam bumi’.
Serumpun muafakat
Pohon mengajarkan tentang kepentingan muafakat dalam hidup bermasyarakat. Aur dan tebing misalnya menunjukkan bagaimana tolong menolong di antara akar buluh dan tebing dapat menjamin kelestarian buluh dan mengukuhkan tanah dari runtuh. Kesatuan masyarakat dibayangkan dengan lidi yang biasanya diperolehi dari daun tumbuhan palma yang diraut daunnya, seperti pohon kelapa. Bagai sebatang lidi mudah dipatahkan; diikat jadi penyapu – bermaksud sekumpulan lebih kuat berhadapan dengan ancaman berbanding sendirian. Hidup mesyarakat juga menuntut keteraturan dan kesepakatan septi kiasan ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’.
Berbudi kepada tanah
Banyak nasihat Nusantara yang menggunakan bidalan pohon untuk menyuruh manusia supaya berusaha bersungguh-sungguh. Bagi mendapatkan hasil dari sebarang usaha perlu melalui kepayahan dan kesungguhan, seperti nasihat ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Cita-cita yang baik mestilah dikerjakan dengan bersungguh-sungguh, dan tidak boleh hanya sekadar diucapkan sahaja. Inilah yang dimaksudkan dengan pepatah ‘hanya menanam tebu di pinggir bibir, tidakkan mendapat hasilnya’. Menjalankan usaha, seperti menanam pohon memerlukan disiplin, kerana ‘pohon tidak berbuah jika tidak dijaga’.
Pemerhatian terhadapan tabiat padi dan rumput membawa kepada pepatah, Jika menanam padi maka rumput juga tumbuh, jika dibiarkan rumput, jangan harap padi kan tumbuh’. Ia bermaksud supaya usaha baik hendaklah disertai dengan persiapan kerana kadangkala hak buruk akan menyertai. Namun sekiranya tiada usaha baik, ataupun sengaja melakukan keburukan, tiada kebaikan akan mengikuti. Perumpaan padi dan dan rumput dijelaskan menurut sains sebagai persaingan tanaman padi dengan lalang Imperata cylindrica yang merupakan tumbuhan invasif kerana pertumbuhan yang cepat dan persaingan mendapatkan nutrien dari tanah.
Apabila berhadapan dengan cabaran dalam berusaha, manusia diingatkan dengan fasa-fasa pertanian iaitu, ‘Sekali menugal, sekali menanam; sekali bekerja, sekali berpanas’. Kesusahan berusaha akan berlalu sehingga tiba masa dapat menuai hasil yang baik. Walaupun begitu tidak boleh meninggalkan usaha separuh jalan oleh sebab kesusahan, kerana itu seperti ‘menanam tanpa membaja’.
Begitulah pohon mengajarkan tertib kerana menanam pohon haruslah mengikut tabiat malar alam. Justeru menumbuhkan tumbuhan tidak boleh dipaksa, kerana sifat tergesa-gesa, tidak bersungguh-sungguh dan gelojoh hanya merosakkan tanaman dan tidak mendatangkan hasil. Demikian hal yang sama juga dalam menjalani kehidupan, perlulah mempunyai jati diri, bermuafakat sesama ahli masyarakat, berusaha dengan tekun dan sabar berhadapan ujian. Ujian dan kerugian seumpama Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Kadangkala daun perlu gugur supaya pucuk mula tumbuh.