Search

Kasih Sayang Islam Terhadap Haiwan

Dalam buku Khazanah Peradaban Islam tulisan Dr Mustafa Husni as-Sibaie membincangkan secara khusus tentang kasih sayang Islam terhadap haiwan. Berdasarkan dalil bahawa haiwan merupakan ummah seperti manusia maka digariskan panduan dunia haiwan sama seperti manusia kerana ia memiliki karakter khas dan tabiat perasaan.

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’aam 6:38)

Disebabkan itu haiwan mempunyai hak untuk dikasihi. Bahkan mengasihi haiwan dengan berbuat baik boleh mendapat ganjaran syurga.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya: “Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah SWT maka Allah SWT mengampuninya”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?”. Rasulullah SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala”. (HR Bukhari No.2363)

Syariat Islam melarang manusia membiarkan haiwan dalam keadaan lapar dan lemah. Dalam satu peristiwa, seekor unta milik lelaki ansar telah mengadukan kelaparan kepada Rasulullah SAW,

Abdullah bin Ja’far beliau bercerita, pada suatu hari Rasulullah SAW memasuki pagar kebun milik seorang Ansar. Maka di sana terdapat seekor unta. Apabila unta itu melihat Nabi SAW, dia menagis teresak-esak serta mengalirkan air mata. Nabi SAW datang kepadanya lalu mengusap tulang belakang telinganya sehingga ia berhenti menangis. Nabi bertanya: “Siapakah tuan unta ini? Siapa pemilik unta ini?” Lalu datanglah seorang pemuda daripada kelompok Ansar dan berkata: “Ia milikku wahai Rasulullah.”

Maka Nabi berkata: “Tidakkah kamu bertaqwa kepada Allah terhadap haiwan yang diamanahkan Allah kepadamu ini? Dia telah mengadu kepadaku bahawa kamu membuatkannya lapa serta menyakitinya.” (HR Daud No. 2549)

Selain itu, syariat juga melarang manusia memaksa haiwan bekerja melebihi kemampuannya.

“Bertaqwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu ini. Tunggangilah dengan baik dan berilah makan dengan baik” – Riwayat Abu Dawud.

Sebahagian manusia gemar berburu haiwan untuk tujuan berhibur tanpa mendapatkan manfaat darinya. Rasulullah SAW melarang perbuatan ini kerana terdapat padanya unsur mensia-siakan harta, di samping penyeksaan haiwan.

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seseorang membunuh burung ‘usfur dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’ (HR al-Nasa’i No.4349)

Haiwan juga tidak boleh dijadikan sebagai sasaran belajar menambak atau memanah.

Dari Sa’id bin Jubair, ia berkata, “Ibnu ‘Umar pernah melewati sekumpulan pemuda Quraisy. Saat itu mereka memajang burung dan dijadikan sasaran tembak (dengan panah). Mereka lantas berikan anak panah pada pemiliknya. Ketika Ibnu ‘Umar melihat kelakuan mereka tersebut, beliau memisah mereka. Lantas Ibnu ‘Umar berkata,

“Siapa yang melakukan seperti ini, maka Allah melaknat pelakunya. Rasulullah SAW melaknat orang yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran tembak.” (HR. Muslim, No. 1958)

Dari Jabir RA, “Rasulullah SAW melarang pembunuhan binatang dengan diikat lantas dipanah.” (HR. Muslim No.1959).

Larangan lain menyebut tentang mengecap besi panas di wajah dan melagakan di antara haiwan ternakan.

Rasulullah SAW melarang dari membuat wasm (membuat tanda dengan besi panas) di wajah (binatang) dan memukul” – Riwayat al-Tirmizi.

Rasulullah SAW menegah daripada melaga-lagakan antara binatang ternakan” – Riwayat Abu Dawud

Islam membenarkan memakan haiwan dan mengambil manfaat darinya kecuali yang dijelaskan haram. Bagi haiwan yang perlu disembelih, syariat meletakkan garis panduan yang mesti diikuti untuk memudahkan haiwan sembelihan.

Syaddad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan agar berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang terbaik. Jika kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan mengistirahatkan sembelihannya.’ (HR  Muslim No.1955)

Demikianlah halusnya perhatian Rasulullah SAW terhadap hak haiwan. Sesungguhnya kasih sayang terhadap haiwan bukanlah sekadar nilai tambahan, tetapi merupakan tanda ketaqwaan dan peri kemanusiaan.

Rujukan:

  1. Kahazah Peradaban Islam. Dr Mustafa Husni As-Sibaie.
  2. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-141: KISAH PEMUDA DAN ANJING https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1440-irsyad-al-hadith-siri-ke-141-kisah-pemuda-dan-anjing
  3. Dilaknat Karena Menyiksa Hewan. https://mahad.uin-suska.ac.id/2016/05/13/dilaknat-karena-menyiksa-hewan/
  4. Menyingkap titipan Rasulullah menyantuni kebajikan haiwan https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolum/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/menyingkap-titipan-rasulullah-menyantuni-kebajikan-haiwan
  5. #8261: Adab Sebelum Melakukan Ibadah Korban https://zulkiflialbakri.com/artikel/adab-sebelum-melakukan-ibadah-korban

Penulis:

Share this post

Share this post

Recent Posts