Setiap manusia mendapatkan makanan untuknya dan haiwan ternakan daripada sumber tanaman. Ini disebabkan kerana tumbuhan diciptakan berupaya menukarkan cahaya matahari kepada komponen zat yang diperlukan oleh fisiologi manusia dan haiwan. Bagi mengusahakan pertanian, manusia perlu memahami tabiat alam yang menentukan hasil tanaman mereka. Manusia samada yang beriman ataupun kufur tertakluk kepada tabiat alam yang sama. Disebabkan itu, manusia diperintahkan untuk memerhatikan makanan nya supaya ia mendapat pelajaran dan beriman kepada Allah SWT.
(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya). Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian. Dan buah anggur serta sayur-sayuran. Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma. Dan taman-taman yang menghijau subur. Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput. Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (Surah Abasa 80:24-32)
Penciptaan pepohonan di bumi membuatkan dunia kelihatan indah, selain digunakan untuk kehidupan manusia, sebagai sumber tenaga, dan rumah bagi haiwan.
Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? (Qaaf 50:7)
Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu. Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan.(Al-Mu’minuun 23:19-20)
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. (Al-Nahl 16:68)
Di dunia pohon menjadi nikmat dengan sebab manfaatnya, dan menjadi nikmat di akhirat sebagai balasan baik bagi penghuni syurga, manakala seksaan bagi penghuni neraka.
Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya. (Al-Waqiah 56:27-29)
Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat). Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan. Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya. (As-Saaffaat 37:63-66)
Barangkali kerana dekatnya pohon dalam kehidupan manusia sehinggakan setiap fasa pertumbuhan dapat diperhatikan, ia dijadikan sebagai metafora kehidupan di dunia supaya tabiat pohon menjadi nasihat yang memandu perjalanan.
Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya). (Yunus 10:24)
Rujukan:
- Kisah Pohon daripada Al Quran dan Hadis. Adi Mustika. 2013. Kemilau Publika Sdn. Bhd.