Search

Alam yang sama, Tuhan yang berbeza?

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman. (Al-An’aam 6:99)

Dalam satu rutin riadah penulis dan rakan-rakan telah berpeluang datang ke Taman Botani di Putrajaya. Pagi itu matahari belum naik tinggi, suasana masih redup dengan udara pagi yang segar. Kami berjalan di laluan yang disediakan sambil melihat pemandangan alam dan gelagat pengunjung yang lain. Sembang kami tentang pokok-pokok yang memang banyak di sekitar taman, sekali-sekala tentang langit, burung dan tasik. Kami saling bertanya soalan, mengapa setiap yang bertunas di muka bumi disebut tumbuhan?

Allah SWT menurunkan hujan ke bumi dan menumbuhkan daun hijau pertama dari tanah yang kering. Unsur klorofil pada daun hijau kemudiannya memproses makanannya sendiri dan lebih banyak daun akan keluar, seterusnya ia berbunga dan menghasilkan buah-buahan yang dapat di makan oleh manusia dan haiwan. Bukankah suatu yang menakjubkan apabila air yang sama1 dapat mengeluarkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dengan aneka ragam dan manfaat untuk manusia dan haiwan. Sebidang tanah kebun di kampung sahaja misalnya, boleh mengandungi puluhan jenis tanaman herba dan buah-buahan. Dan itu belum termasuk jenis rerumputan dan kulat yang tumbuh meliar.

Sehingga tahun 2024, saintis botani merekodkan lebih 1.6 juta nama tumbuh-tumbuhan di dunia dengan lebih 370 ribu spesis tumbuhan dikenal pasti. Daripada jumlah tersebut, terdapat lebih 221 ribu tumbuhan yang dikategorikan sebagai Flora Endemik, iaitu tumbuhan yang hanya boleh didapati di sesebuah negara sahaja tidak di tempat lainnya di dunia. Kita bertuah kerana Malaysia diberkati dengan kekayaan flora dan fauna sehingga dinobatkan sebagai salah satu negara berstatus megadiversiti. Kelebihan ini mesti disyukuri dengan dimakmurkan dan dipelihara dengan sewajarnya.

Al-Quran mengungkapkan pepohonan di dunia sebagai satu bentuk keindahan yang dapat diperhatikan2,3 supaya manusia dapat melihatnya dengan mudah dan berfikir tentang kekuasaan Allah SWT yang telah menciptakannya. Disamping itu, penciptaan pohon juga disempurnakan dengan fungsi khusus yang menjadikannya sumber penting bagi keperluan hidup makhluk di bumi. Kehidupan manusia umumnya bergantung dengan tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan, bahan api, ubatan-ubatan dan bahan pembangunan. Dan tentu sahaja, tumbuhan mengitar karbon dikosida dan membebaskan oksigen yang bukan sahaja penting untuk respirasi tetapi juga menyejukkan bumi. Jiwa manusia bahkan dapat berinteraksi dengan tumbuhan di lingkungannya. Contohnya bagi masyarakat Nusantara, terdapat banyak pepatah pepatih oleh leluhur yang diungkapkan daripada pemerhatian mendalam terhadap tumbuh-tumbuhan; samada pada kitaran hidupnya, jenis dan tabiat tumbuhan tertentu, sehinggalah kepada manfaat dan mudarat sebahagian tumbuhan.

Matahari semakin tinggi, kami juga perlu pulang untuk menyambung urusan masing-masing. Dalam perjalanan ke kereta, kami bertembung dengan sekumpulan biarawati yang baru tiba. Barangkali mereka datang mengikuti rombongan melawat kawasan menarik di sekitar Putrajaya. Sempat bertembung mata, mereka menunduk sedikit dan kami membalas dengan senyum. Kami tinggalkan mereka menikmati manfaat dan keindahan alam di Taman Botani. Semoga dengan merenung keindahan alam, mereka dapat mengenal Pencipta nan Esa. Catatan ini pula meninggalkan persoalan kepada kita, bagaimana manusia bergantung manfaat dan berasa takjub terhadap alam yang sama, tetapi beriman kepada Tuhan yang berbeza?4 Tentu sahaja persoalan ini penting, kerana sikap dan moral manusia terhadap alam adalah berkait bagaimana manusia memahami alam, tentang siapakah dirinya dan apakah tugas kehidupannya di bumi. Inilah juga rantaian persoalan yang akan merungkai permasalahan alam sekitar yang membelengu manusia pada hari ini.

Catatan tepi:

1 Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya.  Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. – Surah Ar-Ra’d (Guruh) 13:4

2 Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? – Surah Qaaf 50:7

3 Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid). – Surah An-Naml (Semut) 27:60

4 Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan. – Surah Al-Anbiyaa’ 21:22

Rujukan

  1. World Environment Day: An A-Z of the world’s 17 megadiverse countries. Published on Jun 4, 2024 in World Economic Forum. https://www.weforum.org/stories/2024/06/environment-day-biodiversity-world-megadiverse-countries/
  2. Kisah Pohon Daripada al Quran dan Hadis. 2013. Adi Mustika. Kemilau Publika, Malaysia. 
  3. Pimm, S. L., & Joppa, L. N. (2015). How Many Plant Species Are There, Where Are They, And at What Rate Are They Going Extinct? Annals of the Missouri Botanical Garden, 100(3), 170–176.
  4. https://www.worldfloraonline.org/
  5. State of the World’s Plants and Fungi 2023. Royal Botanic Gardens, Kew.

Penulis:

Share this post

Share this post

Recent Posts