Search

Henti jadi ‘katak di bawah tempurung’

Masyarakat dunia hari ini dijumudkan dengan gaya hidup dan cara berfikir daripada Barat yang menjadikan logik akal sebagai sumber utama untuk memahami alam. Aspek ketuhanan dipisahkan terus daripada urusan-urusan harian mereka seperti ekonomi, sains, pentadbiran, teknologi, politik dan lain-lain. Menjadikan mereka seumpama katak di bawah tempurung yang hanya mengetahui sebahagian sahaja daripada hakikat penciptaan alam yang luas ini. Sebagaimana peringatan Allah SWT,

يَعْلَمُونَ ظَـٰهِرًۭا مِّنَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ ٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ غَـٰفِلُونَ

Maksudnya: Mereka hanya mengetahui apa yang lahir sahaja dari kehidupan dunia, sedangkan mereka lalai dari (kehidupan) akhirat. -Surah Ar-Rum 30:7

Luasnya dimensi alam ini adalah meliputi dan menghubungkan alam ketuhanan, alam ghaib (metafizik) dan alam (fizikal). Alam yang dinilai dengan hawa nafsu mengikut kaca mata Barat menyebabkan kekosongan nilai moral yang menjadikan manusia bebas mengeksploitasi alam untuk menguasai khazanah di dalamnya. Sebaliknya, berfikir dan menghayati kejadian alam dengan mata hati akan mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya yang merupakan hamba kepada suatu kekuasaan Maha Agung yang menciptakan semua ini iaitu Allah SWT, seperti mana firmanNya;

ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: Iaitu orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan mereka berdiri, duduk dan berbaring di atas lambung mereka dan sentiasa memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. (Dan berkata) Wahai Tuhan kami: Tiadalah Engkau ciptakan alam ini dengan sia-sia sahaja. Maha Sucilah Engkau! Oleh itu lindungilah kami dari azab Neraka. – Surah Aali-Imran 3:191

Mustahil alam ini terjadi dengan sendiri tanpa ada yang mengaturnya. Lihat sahaja bagaimana para saintis menemukan sistem suria dimana planet-planet mengelilingi matahari di atas paksinya tersendiri. Sistem suria ini pula berada dalam galaksi bima sakti yang terdiri daripada berbilion-bilion bintang yang mengelilingi sebuah lohong hitam dipanggil Sagittarius A*. Menakjubkannya planet dan bintang-bintang ini tidak pula bertembung di antara satu sama lain kerana ianya bergerak di atas paksi masing-masing seolah-olah diatur. Begitu pula hujan dan salji yang turun secara sebutir-sebutir ke bumi dan menyapa lembut manusia yang berada di bawahnya. Pernahkah kita terfikir, mengapa tidak air hujan ini jatuh seperti air paip bomba yang kuat? Jika ianya terjadi, pasti membawa kecelakaan kepada manusia. Maha Suci Allah atas segala nikmat kurniaanNya.

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Kerosakan telah berlaku di darat dan di laut disebabkan perbuatan yang dilakukan tangan manusia, kerana Allah mahu mereka merasakan setengah-setengah akibat dari perbuatan yang dilakukan mereka supaya mereka kembali (ke jalan yang benar). – Surah Ar-Rum 30:41

Betapa canggungnya dunia berbicara tentang kelestarian melalui usaha mengurangkan karbon dalam atmosfera bumi, namun, pada masa yang sama memberi lesen kepada syarikat-syarikat untuk terus mengeluarkan karbon (industri) selagi mereka dapat membayar melalui transaksi carbon trading dan carbon credit. Sumber-sumber alam yang lain pula terus di eksploitasi secara bebas atau dimusnahkan bagi memberi laluan kepada aktiviti pembangunan. Justeru, bencana alam dan ekosistem persekitaran yang terjejas fungsinya dan menimpa manusia silih berganti merupakan akibat daripada kerakusan tangan-tangan manusia itu sendiri. Ilmu-ilmu sains yang sepatutnya menjadi gelanggang ibadah dan aktiviti pemakmuran telah bertukar menjadi laknat apabila ditangani akal yang kafir dengan aktiviti kefasadan.

Di satu sudut yang lain, kesan domino (domino effect) bencana alam yang berlaku akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri merupakan suatu Rahmat daripada Allah SWT. Hal ini kerana, hikmah kejadian yang berlaku merupakan peringatan daripada Allah SWT agar manusia kembali kepada kebenaran seperti firmanNya;

وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّفَسَدَتِ ٱلْأَرْضُ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam. – Surah Al-Baqarah 2:251

Falsafah alam sekitar yang bersandarkan wahyu dan sains merumuskan hakikat alam yang sebenar datangnya daripada Allah SWT sebagai Tuhan yang mencipta dan mengajarkan manusia tentang alam. Wahyu Tuhan adalah sumber utama moral manusia kepada alam selain sebagai panduan untuk menjalani kehidupan dan menguruskan alam. Penjelasan sains diterima dan dimanfaatkan untuk membangunkan alam selagi mana ia terikat dengan kerangka yang dibenarkan oleh wahyu. Kesepaduan antara wahyu dan sains ini akan menatijahkan kemakmuran alam yang akhirnya membawa kepada kebahagiaan sebenar kepada manusia dan hidupan lain umumnya.

Penulis:

Share this post

Share this post

Recent Posts