Search

Jejak Hikmah Alam – Lembah an-Naml di sekitar Saya

Cuti sekolah telah bermula, tidak lama lagi juga Ramadhan akan berkunjung tiba. Pasti ramai mengambil peluang ini untuk membersihkan persekitaran rumah. Selain mengemas, apa kata gunakan peluang cuti ini untuk melakukan tadabbur alam di sekeliling rumah bersama ahli keluarga. Kita belajar tentang semut. Ya, semut! Bukankah kita selalu berjumpa dengan semut di kawasan rumah? Mari kita lakukan sedikit pemerhatian tentang semut sehingga menghasilkan tindakan iman dari kagumnya kita terhadap makhluk ciptaan Allah yang kecil tetapi besar kepentingannya kepada alam.

Alatan:

  1. Kanta pembesar
  2. Kertas dan pensel untuk mencatat

Kaedah:

  1. Kenalpasti koloni semut di sekitar rumah – di dalam dan luar rumah
  2. Lakukan pengamatan terhadap koloni semut dengan menggunakan kanta pembesar sekiranya ada
  3. Di atas kertas, cuba lukiskan rajah semut yang di perhatikan – segmen badan, antenna, bilangan kaki, dan lain-lain.
  4. Bandingkan jenis koloni semut yang ditemui – apakah warna, saiz, ciri khusus, menyengat atau tidak?
  5. Perhatikan ke manakah arah koloni semut bergerak? Cuba teka motif pergerakan – mendapatkan makanan atau menjauhi bahaya. Perhatikan bagaimana semut berinteraksi di antara individu koloni
  6. Dari pemerhatian anda, apakah pepatah yang dapat menerangkan keadaan semut tersebut?
  7. Bincangkan dapatan anda bersama ahli keluarga
  8. Bacakan petikan surah An-Naml ayat 18-19 beserta maksud. Hafalkan doa berikut:

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku – dengan limpah rahmatMu – ke dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. – Surah An-Naml 27: 19

Fakta Menarik tentang Semut

Fakta Menarik tentang semut:

  1. Tahukah anda, Nabi Sulaiman AS mempunyai mukjizat memahami bahasa semut tanpa melakukan kajian. Nabi Sulaiman AS telah mensyukuri nikmat Allah kerana dapat memahami bahasa semut dan berdoa supaya kekal menjadi hamba yang bersyukur dan tetap melakukan amal solah. Kisah ini dirakam di dalam al Quran di surah An-Naml 27:19.
  2. Walaupun semut serangga yang kecil dan sering terpijak oleh manusia, semut sebenarnya sangat kuat kerana dapat membawa beban yang beratnya 10 – 50 kali ganda dari berat badannya sendiri.
  3. Semut boleh berubah menjadi zombi! Ya, terdapat parasit seperti fungus Ophiocordyceps yang dapat menjangkiti semut dan mengawalnya saraf dan tingkah lakunya sehingga semut bertindak di luar kawalannya dan mengikuti kehendak fungus.
  4. Semut merupakan perenang yang handal. Walaupun semut tidak mempunyai telinga, semut dapat ‘mendengar’ melalui getaran.

Bagaimana Mensyukuri Semut dalam Kehidupan

  1. Mengucapkan سُبْحَانَ ٱللَّٰهِ apabila melihat koloni semut kerana setiap makhluk yang diciptakan Allah mempunyai peranan tersendiri dalam ekosistem alam kita. Semut merupakan serangga sosial yang memulihkan struktur fizik dan kimia tanah; membantu pereputan, pendebungaan dan menyebarkan biji tumbuhan; di samping itu semut juga merupakan haiwan pemangsa dan menjadi makanan haiwan-haiwan yang lain.
  2. Tidak mengganggu atau membunuh semut dan merosakkan sarangnya dengan sesuka hati tanpa sebab yang dibolehkan seperti mengelakkan mudarat.
  3. Menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal – tutup bekas makanan dan minuman, uruskan sampah secara berhemah. Semut berkeliaran di rumah biasanya kerana mengumpul sisa makanan yang berjatuhan. Untuk mengelak semut datang, makan dan minum di tempat khas, serta bersihkan makanan yang tertinggal.
  4. Sekiranya perlu mengawal populasi semut yang merosakkan tanaman pertanian, gunakan pendekatan kawalan semulajadi dan dengan bertanggungjawab.
  5. Sediakan kawasan kompos sisa makanan di tempat yang sesuai untuk menarik semut sebagai agen penguaraian semulajadi dan mengitar nutrient ke dalam tanah.

Penulis:

Share this post

Share this post

Recent Posts