Search

Kisah Pohon dalam Sirah Rasulullah SAW

Pohon banyak mewarnai perjalanan sirah Rasulullah SAW sebagai latar tempat dan metafora nasihat. Di sini dikongsikan beberapa kisah menarik tentang pohon yang disebut di dalam hadis buat pedoman.

Tanam Pohon Dapat Pahala Sedekah

Amal soleh di dalam ajaran Islam tidak terhad kepada menjalankan ibadah khusus. Bahkan usaha memakmurkan alam termasuk dalam amal soleh yang diberikan pahala. Dalam konteks alam sekitar, menanam pohon seperti kegiatan pertanian bukan sahaja memberikan manfaat dari sudut sains dan ekonomi, tetapi juga bernilai sedekah dan mendapat pahala di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda, ‘tidak ada seorang Islam yang menanam pohon, kecuali sesuatu yang dimakan daripada tanaman itu akan menjeadi sedekah baginya dan yang dicuri akan menjadi sedekah. Apa sahaja yang dimakan dari Binatang buas daripadanya, maka sesuatu yang dimakan itu menjadi sedekah baginya.

Apapun yang dimakan burung daripadanya, maka hal itu menjadi sedekah baginya. Jika seseorang yang mencuri pohon atau buahnya, maka hal itu akan menjadi sedekah bagi penanamnya.’ (HR Bukhari No.2320)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika seorang Islam menanam pohon atau tanaman, lalu burung atau manusia atau haiwan memakannya, maka dia mendapat sedekah daripadanya. (HR Muslim No. 2904)

Satu riwayat berbeza pula menyebut, Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang menanam sebatang pohon kemudian dengan tekun memeliharanya dan mengurusnya hingga berbuah, maka sesungguhnya baginya pada tiap-tiap sesuatu yang dimakan daripada bahnya merupakan sedekah di sisi Allah.’ (HR Ahma No. 22185)

Pohon Menangis Mendengar Khutbah

Sebatang pohon kurma pernah menangis ketika mendengar khutbah Rasulullah SAW kerana mendengar ayat-ayat Allah di bacakan di atasnya. Benarlah bahawa pohon adalah makhluk yang hidup bukan sahaja kerana menjalankan proses kehidupan, tetapi juga kerana dapat berinteraksi dengan ayat-ayat Allah.

Abdullah ibn Umar meriwayatkan, Rasulullah SAW naik ke atas mimbar dan berkhutbah. Tatkala Rasulullah SAW sedang berkhutbah, baginda mendengar mimbar yang dinaiki menangis seperti tangisan anak kecil, seakan-akan mimbar itu akan pecah. Rasulullah SAW lantas turun dari mimbar dan merangkulnya sehingga tangisannya berkurang dan akhirnya diam. Raslullah SAW berkata, mimbar itu menangis kerana mendengar ayat-ayat Allah dibacakan di atasnya. (HR Bukhari No.4783)

Ini menjadi pengajaran kepada manusia yang tidak dapat menerima kebenaran apabila dibacakan Al Quran, bahkan selepas melihat pelbagai kekuasaan Allah melalui alam di sekelilingnya.

Dosa yang Gugur Seperti Dedaunan

Rasullullah SAW menggunakan contoh yang mudah diperhatikan oleh sahabat untuk mendorong perbuatan amal soleh seperti daun yang berguguran disebabkan oleh musim atau keadaan tertentu.

Abu Zar menceritakan satu masa ketika musim sejuk dan daun-daun berguguran. Rasulullah SAW telah mengambil setangkai ranting pohon sehingga daun-daunnya mula berguguran. Rasulullah kemudian berkata, ‘Wahai Abu Zar!’ , maka di jawab oleh beliau, ‘Labbaika ya Rasulullah’. Rasulullah SAW berkata, ‘Sesungguhnya seorang Islam yang mendirikan solatnya semata-mata kerana Allah, maka dosa-dosanya akan berguguran daripadanya seperti daun-daun ini gugur daripada rantingnya.’ (HR Ahmad No.22595)

Dalam peristiwa yang lain, Rasulullah SAW menggalakkan zikir dengan perumpaan yang serupa dengan daun-daun berguguran.

Anas ibn Malik meriwayatkan, pada suatu harim RAsualullah SAW melalui sebatang pohon yang kering daun-daunnya. Kemudian baginda memukul pohon tersebut dengan tongkatnya, sehingga daun-daun daripada pohon tersebut berguguran. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya kalimah سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر (Maha Suci Allah, Segala puji hanya milik Allah, tiada tuhan selain Allah, Allah Maha Besar) dapat menggugurkan dosa seorang hamba, sebagaimana gugurnya daun pohon ini. (HR Tirmizi No. 3533)

Masuk Syurga Kerana Buang Ranting Berduri

Di antara nilai baik alam sekitar ialah menghilangkan kerosakan atau bahaya di persekitaran. Rasulullah SAW menceritakan kebaikan menghindarkan bahaya seperti ranting berduri dari laluan orang ramai, bahkan Allah mengatakan penghargaan kepada perbuatan ini dengan mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, ‘Ada seseorang yang sedang melintas di jalan raya. Dia mendapati ada sepotong ranting berduri, lalu dia membuangnya dari jalan. Allah berterima kasih di atas apa yang dilakukan oleh orang tersebut dan mengampuni dosanya. (HR Muslim, No.1927)

Daripada Riwayat hadis lain oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, ‘Seorang lelaki bertemu dengan sebatang ranting berduri di tengah jalan, lalu dia berkata, Demi Allah, aku akan membuang ranting ini supaya tidak membahayakan kaum Muslimin. Allah berterima kasih kepada lelaki tersebut dan memasukkannya ke dalam syurga. (HR Muslim, No.1931)

Seperti Berteduh Sebentar di Bawah Pohon

Pesanan Rasulullah SAW tentang kehidupan menggunakan tamsilan persinggahan teduh di bawah pohon menggambarkan selayaknya seorang pengembara yang mesti tiba ke destinasi akhir, tidak boleh leka dalam persinggahannya. Cukuplah sekadar mendapatkan bekal dan keselesaan untuk meneruskan perjalanan.

“Kehidupan manusia di dunia ini hanyalah sementara sahaja, seperti seorang yang sedang dalam perjalanan jauh, lalu berteduh di bawah pohon yang rendang untuk melepaskan Lelah, kemudian berjalan lagi menuju ke tempat tujuannya.”  (HR Bukhari No. 4913)

Rujukan:

  1. Kisah Pohon daripada Al Quran dan Hadis. Adi Mustika. 2013. Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Penulis:

Share this post

Share this post

Recent Posts