Search

Pesan Budi Dari Semut

Walaupun kecil dan sering dipandang remeh, semut menyimpan hikmah besar dalam perjalanan alam dan kehidupan manusia. Dari celah tanah hingga ke dapur rumah, makhluk kecil ini bergerak dengan penuh tertib, saling bekerjasama dan tidak pernah mengenal erti putus asa. Melalui pengamatan terhadap semut, kita diajak untuk memahami peringatan alam dan mendengar pesan budi buat pedoman kehidupan.

Terdapat surah dalam Al Quran yang berkaitan semut iaitu Surah An-Naml (Surah ke-27). Surah ini merakamkan peristiwa Nabi Sulaiman AS dan tenteranya yang melalui satu kawasan disebut Lembah Semut (Wadi an-Naml). Interaksi semut dalam petikan ayat 18-19 di surah ini menunjukkan mu’jizat Nabi Sulaiman AS yang mampu memahami bahasa semut, sebagai kurniaan Allah tanpa memerlukan kajian atau usaha saintifik.

Semut Berbicara

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Wadi an-Naml, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”.

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku – dengan limpah rahmatMu – ke dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. An-Naml 27: 18-19

Ayat ini menerangkan kejadian semut sebagai serangga sosial yang saling berkomunikasi. Semut menggunakan beberapa cara untuk berhubung: bunyi, sentuhan, dan bau. Bunyi boleh dihasilkan melalui organ tertentu atau gesekan kaki dengan badan, manakala sentuhan berlaku melalui antena antara semut. Tapi yang paling terkenal ialah bau, iaitu melalui sebatian kimia yang dipanggil feromon. Feromon ini penting — ia boleh menyampaikan mesej seperti amaran bahaya, petunjuk makanan, atau pengenalan ahli koloni. Malah, ada masa seekor semut “memerintahkan” semut lain untuk menyelamatkan diri apabila berhadapan bahaya.

Semut pekerja mampu mengeluarkan isyarat amaran ketika ancaman bahaya. Respon terhadap isyarat ini boleh menyebabkan semut lain menyerang punca bahaya atau menjauhinya. Bahan kimia amaran dikeluarkan dari kelenjar posterior abdomen semut, dan diterima oleh antena semut lain. Melalui rantaian penyampaian ini, dalam beberapa saat sahaja, kesemua individu semut di luar sarang dapat menerima isyarat dan bertindak menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam sarang.

Bahasa Alam

Dalam ekosistem alam yang lebih luas, semut hidup bertolong menolong dengan serangga lainnya seperti serangga koksid, afid (kutu daun) dan serangga sisik. Serangga perosak tersebut bukan sahaja menghisap cairan tumbuhan dan mengakibatkan daun atau batang menjadi kering, bahkan bertindak sebagai vektor kepada beberapa jenis penyakit tanaman. Simbiosis antara semut dengan serangga koksida dan afid sangat menarik – apabila semut bertindak melindungi serangga tersebut dan sebagai balasannya serangga koksida, serangga sisik dan afid menyediakan makanan kepada semut daam bentuk embun madu yang kaya dengan gula, asid amino dan mineral.

Sebagai mengenang budi, semut melindungi serangga koksida, dan afid dari serangga musuh, bahkan semut juga memindahkan serangga koksida dan afid ke daun-daun muda dan segar. Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa semut memindahkan telur afid ke dalam sarangnya sebagai perlindungan ketika musim sejuk.

Walaupun begitu, simbiosis ini menyebabkan penyakit tanaman pertanian oleh serangga afid dan koksida. Contohnya industri nenas berhadapan dengan ancaman penyakit tanaman seperti layu dan bintik hijau yang disebabkan oleh serangga koksida Pseudococcus brevipes yang mana dilindungi oleh semut Pheidole mehacephala yang sifatnya garang.

Bagi mengatasi masalah penyakit tanaman pertanian, manusia menggunakan umpan atau racun serangga untuk mengawal populasi semut. Apa sahaja pendekatan yang diambil, mestilah dilakukan dengan bertanggungjawab dan ihsan selayaknya seorang khalifah yang memakmurkan bumi. Janganlah disebabkan mengejar keuntungan, kita jadi melupakan kepentingan ciptaan semut kepada alam yang kita hidupi – iaitu sebagai pembaik tanah, pendebunga dan penyebar biji tumbuhan, penyeimbang ekosistem sebagai haiwan pemangsa dan juga makanan kepada haiwan-haiwan yang lain.

Pesan budi

Semut bukan sekadar serangga, tetapi cerminan kearifan tempatan yang mengajar manusia untuk bekerja keras, prihatin, seimbang, berdisiplin dan saling bergantung antara satu sama lain.

Mencontohi sifat syukur nabi sulaiman as terhdap nikma mikjizat yang diberikan Allah. Pengetahuan tentang semut pada hari ini sepatutnya meningkatkan keimananan dan amanah menjalankan tugas memakmurkan alam.

Masyarakat Nusantara telah mengamati dengan tajam kewujudan semut sehingga banyaklah pelajaran dan nasihat yang diungkapkan melalui contoh semut dalam bentuk pepatah pepatih. Perihal ketamakan manusia dalam pembangunan wajar di ingatkan dengan kerugian semut akibat tidak dapat melepaskan makanannya – Di manis gula semut binasa.

Rujukan:

  1. Rahsia Pengungkapan Serangga Dalam Al Quran. 1992. Mohamed Salleh. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur.
  2. Koya Nanas : Perosak Tanaman Nanas di Malaysia. https://www.majalahsains.com/koya-nanas-perosak-tanaman-nanas-di-malaysia/#:~:text=Langkah%20Pengawalan%20Koya%20Nanas,2013).
  3. Tafsir Fi Zilal Surah An-Naml

Penulis:

Share this post

Share this post

Recent Posts